Monday, 18 May 2009

Suatu masa dulu...


Aku duduk di meja hidangan, didalam sebuah majlis anjuran HTMi.

Kelihatan beberapa orang pelajar sedang menjalankan aktiviti-aktiviti yang telah mereka pelajari dan sekarang mengaplikasikan apa yang telah mereka belajar.

Aku terlihat seorang pelajar yang kecil. Dia berdiri ditempat yang tersorok. Wajah agak masam dan gugup seperti ketakutan.

Lalu aku meminta tolong dari Raihan, yang merupakan seorang pelajar dari Malaysia memanggil pelajar itu. Raihan pergi.

Selang beberapa minit kemudian, pelajar itu datang dan menghampiri ku. Wajahnya kelihatan gugup, mungkin khuatir tidak akan dapat memahami bahasa yang akan aku bicara nanti.

"Can you speak English?", beliau mengangguk sambil tersenyum. Ada sedikit wajah riak ketakutan

Aku bertanya, kenapa wajahnya masam. Dia tersenyum. "Saya merupakan pelajar baru disini, dan ini adalah pengalaman baru saya".

"Tidak mengapa, tapi jika kamu boleh senyum sedikit, kamu akan tampak lebih tenang dan menyakinkan". "Sekarang, lihat ke arah kamera dan cuba kamu senyum."

Peristiwa itu berlaku di sekitar dua tahun yang lalu, musim dingin, November 2007

...........................


Kini, setelah dua tahun berlalu, aku datang kembali.

Ruangan makan yang sama. Susun-atur meja yang sama seperti dulu. Cuma tempat duduk di meja yang lain.

Wajah-wajah dahulu yang pernah aku lihat, kini telah tiada lagi. Mereka datang dan pergi. Begitulah setiap tahun.

Aku masih tercari-cari, kalau ada wajah-wajah yang pernah aku temui sekitar dua tahun yang lalu.

Raihan telah lama pulang. Pulang ke Malaysia. Akhir tahun lepas. Sudah grad mungkin.

Makanan yang dihidangkan. Dan aku menolak. Bukan tolak tak makan, tapi tolak ke dalam mulutku. Awal-awal lagi aku dah memberitahu aku cuma boleh makan seafood, sayuran dan minum non-alkohol. Makanan yang dihantar mengikut spesifikasiku. "Gute Apetit!".

Kebanyakkan pelajar yang datang, cuma mengambil kajian dalam masa dua tahun. Satu semester bersamaan dengan enam bulan. Yuran pengajian CHF28,000 bagi setiap semester. Diikuti "Internship" (Praktikal) selama beberapa bulan. Dengan itu, dapatlah mereka menampung sedikit untuk duit yuran.

Hampir kesemuanya pelajar baru.

Tiba-tiba aku terlihat seorang gadis yang agak tinggi berdiri di sudut pintu. Berpeluk tubuh. "Dia bukan pelajar baru", bisik hati kecilku. Pelajar tahun satu dan dua pasti mengambil bahagian dalam penyediaan majlis ini.

Fikiranku seperti sebuah harddisk lama, berputar ligat menyisih imej-imej yang sudah lama terpendam untuk dipadankan dengan imej yang baru aku lihat.

Tiba-tiba dia tersenyum kearah beberapa orang pelajar, lalu menyuruh mereka berbuat sesuatu. Caranya memberi arahan seolah-olah dia sudah biasa melaksanakan tugasan.

"Aku ingat!". Gadis kecil yang ku temui kira-kira dua tahun yang lalu sudah tinggi.

...........................


Aku bingkas bangun dan berjalan kearahnya.

Gadis itu melihat aku menghampirinya, dia melemparkan senyumannya. Senyuman yang sama seperti dua tahun yang lalu.

Aku menegurnya. "Bukankah kamu gadis kecil yang pernah saya temui dan menyuruh kamu senyum?, kamu sudah tinggi sekarang".

Beliau tersenyum dan berkata, "saya masih lagi gadis kecil seperti itu. Cuma saya memakai sepatu tinggi", sambungnya sambil ketawa kecil.

"Setiap kali kamu menjadi dewasa, saya pula akan bertambah tua". Ujarku lagi.

Kami ketawa bersama dan bersalaman. kami bersembang hampir sepuluh minit dan mengenangkan cerita dua tahun yang lalu. Bertanya tentang Soerenberg. Bertanya tentang HTMi.

Dia masih lagi ingat, semasa saya menyuruhnya belajar senyum dan cuba untuk senyum. Kini dia sudah mahir. Saya bertanya lagi, kenapa dia masih di HTMi, sedangkan Raihan sudah lama pulang.

Rupa-rupanya, dia melanjutkan pelajaran untuk mengambil Masters dalam masa satu tahun lagi dan kursus Internship selama beberapa bulan.

Dan 2009 adalah tahun terakhirnya.

Apakah kami akan bertemu lagi. Ich weiss es nicht!

1 comment:

Azman Bin Sulaiman said...

Ramli, kalau jumpa 'budak kecil' tu tolong kirim salam...comel la