Tuesday, 19 August 2008

Kisah Kapak.

Telah diceritakan kepada saya dan saya cuba sampaikan seboleh-bolehnya tanpa saya olahkan penceritaan tersebut. Selamat membaca!

Di sebuah rumah di pinggiran hutan, terdapat sepasang suami isteri yang hidup dengan gembira. Sang suami bekerja sebagai pemotong kayu sementara isterinya menjaga keperluannya di rumah. Dia memiliki sebilah kapak dan amat meyayangi kapak tersebut. Kerana kapak adalah merupakan sumber untuk mencari rezeki.

Pada suatu hari sedang ia berjalan di pinggiran kali, tiba-tiba dia tergelincir lalu jatuh. Kapaknya hilang. Ia menangis lalu merayu kepada tuhannya. Sesudah itu ia terjun lalu menyelam. Ia mencari dan nasibnya baik sekali kerana menjumpai kembali kapaknya.

Alangkah terperanjatnya ia, apabila di dapati kapak tersebut adalah sebilah kapak perak, lalu tuhannya berbicara kepadanya. "Inikah kapak mu wahai si pemotong kayu?. Ambillah dan simpanlah kapak itu". "Bukan!, ia bukan milikku!" kata pemotong kayu. Ia tidak mahu mengambilnya kerana kapak itu jelas bukan miliknya.

Ia menyelam kali keduanya, dan kali ini ia mendapati sebilah kapak emas. Ia tahu, ia bukan miliknya. Tuhan berbicara kepadanya lagi, "ambil kapak itu, ia milikmu". Berkatalah pemotong kayu itu, "Bukan, ia bukan milikku". ia tidak mengambil kapak itu.

Lalu ia menyelam kembali dan alangkah gembiranya kerana ia terjumpa kembali kapak miliknya. Tersangatlah gembiranya ia.

Berkatalah Tuhannya "Jika begitu kamu ambil kesemuanya dan gunakanlah ia". Pemotong kayu tersebut pulang dengan perasaan yang sangat gembira.

Selang beberapa tahun kemudian.

Pada suatu petang. Pemotong kayu berjalan bersama isterinya. Mereka berjalan-jalan sambil bercanda, melalui sebatang kali yang amat cantik. Mereka berhenti sejenak. lalu mereka duduk di pinggiran. Tiba-tiba isterinya tergelincir lalu jatuh ke dalam kali.

Pemotong kayu tersebut menangis lalu meminta tuhannya supaya ditemuikan kembali isterinya. Lalu ia terjun untuk mencari isterinya. Setelah puas mencari akhirnya jumpalah ia akan isterinya. Ia membawa isterinya naik ke atas.

Alangkah terkejutnya ia, apabila ia mendapati yang diselamatkan adalah seorang wanita yang sangat cantik seiras Catherine Zeta-Jones.

Dia tersangat gembira, lalu membawa pulang.

Tiba-tiba, tuhannya berkata, "Alangkah jeleknya kamu, kerana membawa pulang seorang wanita yang bukan isteri kamu!".

Pemotong kayu terkejut, ia berasa tersangat takut. Ternyata ia memang bersalah.

Lalu ia merayu, "bukan begitu tuhanku, ini adalah kerana jika aku tidak mengambilnya, aku akan menyelam dan aku akan menjumpai wanita lain yang lebih cantik. Seterusnya aku akan menyelam lagi sehingga aku temui isteriku".

Berkata lagi pemotong kayu, "Tuhanku, nanti kamu akan berkata ambillah dan gunakan kesemuanya, sedangkan aku hanyalah seorang pemotong kayu yang miskin. Makanya, aku tidak menyelam lagi untuk mencari isteriku".

Pemotong kayu pun tersenyum lalu memimpin dan membawa pulang bakal isteri barunya. kali ini ia benar-benar gembira. Memiliki kapak emas, perak dan isteri yang cantik.

Sekian.


Kisah kapak ini telah diceritakan oleh teman saya, seorang Cina Indonesia.

No comments: