Friday, 17 October 2008

Musim Luruh 22/09-22/12


Sekarang telah masuk pertengahan musim luruh. Daun telah bertukar warna. Dari warna hijau ke kuning. Ada juga menjadi warna merah hati. Semasa bertukar warna ke kuning atau merah hati, komposisi daun tersebut akan menjadi sedikit tebal.

Bagi orang baru seperti saya, musim ini akan membuatkan saya mudah mengantuk. Mungkin di antara penyebabnya ialah kurang pencahayaan matahari. Suasana yang suram. Pernah saya tidur hingga jam 9 pagi dan jam 2 petang saya tidur lagi. Akibatnya, saya sudah tidak boleh tidur lagi.

Kedudukan matahari yang condong mengakibatkan suasana seperti pagi antara jam 9 hingga 10 pagi, manakala petangnya pula seperti diantara jam 4 hingga jam 6 petang. Sehingga kini saya tidak boleh meramalkan masa dengan tepat. Kalau di Malaysia, dengan kedudukan matahari, kita boleh membuat anggaran masa. Tetapi tidak di sini.

Pancaran cahaya amat menyilaukan dan memedihkan mata. Kerana itu, memakai cermin mata gelap amat perlu.

Kerap terjadi apabila hari begitu cantik dengan sinaran cahaya matahari, pada keesokannya pula, kabut akan terjadi. Mungkin fenomena alam, bahang kepanasan yang terperangkat di muka bumi. Apabila menjadi sejuk, wap akan keluar dan mengakibatkan kabut.

Matahari keluar hampir jam 8.00 pagi dan terbenam jam 6.30 petang. Pada masa ini saya dapat menunaikan solat dalam waktu kerja. Waktu Asar dalam 4.15 petang. Dan ia akan menjadi lebih awal.

Jalan raya mula di penuhi dengan dedaunan kering. Deretan pohon dengan warna-warna amat cantik, walaupun telah terdapat pohon yang telah gondol. Mereka membersihkan seminggu sekali. Ini adalah kerana pada setiap kali angin bertiup, daun-daun akan berguguran dengan banyaknya.

Suhu sudah mula menurun. Secara umum suhu adalah dalam 15c hingga 22c. Ada terjadi suhu menurun sehingga 2c. Tetapi secara kerap 10c. Antara anggota yang merasa kesan kesejukan adalah muka dan tangan. Tangan terasa seperti memegang ais. Di bahagian muka pula, pipi akan merasa lebih sejuk. Hidung terasa berair, tapi ia sebenarnya kering.

Saya kerap menyapu hidung saya, kerana saya sangka cairan keluar. Tetapi tidak. Ia berlaku kerana hembusan nafas kita yang panas bertindak balas dengan suasana sejuk dan terjadi wap-wap halus di hidung.

Kota Bern merupakan laluan angin. Oleh itu kawasan ini kerap berangin. Ini akan menyejukan lagi keadaan. Sejuk bukan kerana suhu, tetapi kerana tiupan angin!

1 comment:

Anonymous said...

damainya...